AKHIR-akhir ini timbul keghairahan di kalangan umat Islam di negara
ini untuk membeli dan melabur dalam emas sama ada dalam bentuk siling,
jongkong dan sebagainya.
Situasi ini menyebabkan ada di kalangan mereka lupa akan batas-batas
syariah berkaitan pembeliannya sehingga membawa kepada amalan riba yang
diharamkan Islam.
Allah SWT mengisytiharkan perang ke atas pelaku riba. Ini terkandung dalam penegasan-Nya dalam firman: Wahai
orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah
saki baki riba, jika kamu orang yang beriman. Jika kamu tidak
meninggalkannya, isytiharkanlah perang dengan Allah dan Rasul-Nya. (al-Baqarah': 278-279)
Secara umum, riba adalah sebarang pertambahan dalam urus niaga sesuatu
barangan atau tambahan ke atas hutang disebabkan tempoh pembayaran yang
lewat.
Emas selaku komoditi bernilai merupakan salah satu barangan
berunsurkan riba (ribawi) yang disebutkan dalam hadis Rasulullah SAW
yang diriwayatkan oleh 'Ubadah bin al-Samit :Emas dengan emas, perak
dengan perak, gandum dengan gandum, tamar dengan tamar, garam dengan
garam, perlu sama, timbangan sama dan diserah tangan segera. Jika
asnaf-asnaf ini berbeza, juallah seperti mana kamu kehendaki selagi ia
serahan segera (tidak bertangguh). (riwayat Muslim)
Hadis ini menyenaraikan barangan ribawi yang terbahagi kepada dua
kategori, iaitu matawang seperti emas, perak, ringgit, dollar dan
sebagainya serta makanan asasi seperti padi, gandum, barli, tamar dan
garam.
Walaupun begitu, syarat ini tidak terpakai dalam urus niaga barangan
ribawi yang berlainan kategori dan jenis, seperti membeli padi dengan
menggunakan emas atau urus niaga barangan ribawi dengan barangan bukan
ribawi seperti boleh membeli kereta dengan menggunakan emas atau
matawang lain.
Urus niaga pembelian emas kini melibatkan pertukaran emas dengan
matawang lain. Menurut muamalat Islam, pembelian atau pertukaran
matawang dengan matawang seperti membeli emas dengan wang ringgit adalah
termasuk dalam kontrak al-Sarf (tukaran wang).
Justeru, pembelian emas mestilah mematuhi syarat kontrak tersebut,
iaitu mestilah tunai serta-merta tanpa ditangguh atau diberi tempoh.
Syarat serahan dan penerimaan barangan emas mestilah berlaku semasa akad
pembelian sebelum berpisah.
Oleh itu, kita semua perlu mengawasi perkara ini demi mengelak diri
daripada terkena najis riba yang kemudiannya akan terkena bakaran api
neraka serta dilaknat Allah SWT. Ingatlah amaran Rasulullah SAW: Allah melaknat orang yang memberi dan menerima riba. (riwayat Muslim)
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Utusan Malaysia Online pada 19 Mei 2011.
..
BalasPadamUlasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
Padam